Home Top Ad

Isu Stadium Mini FFira Mikah - tindakan akan dikenakan


UPDATE: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu tindakan akan diambil terhadap Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Noor kerana menamakan Stadium Ffira Mikah tidak mengikut prosedur.

Sepatutnya apa sahaja nama jalan, lokasi taman atau stadium perlu dibincang di peringkat kerajaan tempatan dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Exco yang berlangsung setiap minggu untuk diluluskan.

Sebaliknya nama pilihan untuk stadium mini itu hanya dibincang pada peringkat kerajaan tempatan sahaja.

Kan dah kena...


Kata Nabi, andai tangan kanan memberi sesuatu kepada sesiapa, seeloknya sembunyikanlah ia daripada pengetahuan tangan kiri. Membawa erti kalau dah tangan kiri pun tak boleh tahu, apatah lagi khalayak umum.

Namun seakan sudah menjadi budaya biasa di negara kita, di mana setiap sumbangan selalu disertakan kenyataan 'SUMBANGAN IKHLAS SI POLAN'. Kita pun naik hairan - kalau benar ikhlas, dia takkan beritahu sesiapa perbuatan baiknya, kan? 

Mungkin kerana perlu dijelaskan nama si pelaku untuk memperlihatkan bahawa si pelaku buat kerja, ditulis dalam rekod untuk dinilai oleh majikan. Ini berbalik semula kepada niat kita berbuat sesuatu - kerana KPI, atau kerana kita tahu benda itu bawa manfaat untuk masyarakat sekitar atau pendek kata - lillahi Ta'ala.

Agaknya sudah sampai hadnya budaya busuk ini, maka baru-baru ini tularlah isu penamaan sebuah stadium mini di daerah Kuala Nerang yang diberi nama 'FFIRA MIKAH'. 

Stadium itu yang baru dinaik taraf dirasmikan pada 7 Disember tempoh hari oleh Pegawai Daerah Padang Terap yang baharu bernama Hakim Ariff Md. Noor.

Sekali pandang sudah tahu mana datang nama aneh FFIRA MIKAH itu. Tak payah belajar tinggi sebab menterbalikkan nama memang permainan budak sekolah rendah. Ini yang membuatkan orang ramai mempersoalkan apa motif di sebaliknya.

Namun apa yang tidak boleh langsung diterima akal waras, dia tampil memberi penjelasan bahawa nama baharu stadium itu tiada kaitan langsung dengan namanya dan ia secara kebetulan sama apabila diterbalikkan. 

Memetik katanya kepada akhbar Sinar Harian dalam temu bual eksklusif terbitan 13 Disember 2020, "Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran."

Kebetulan? Tiada yang berlaku di dunia ini atas kebetulan. Semua ada pucuk pangkal sebab musababnya. (Foto: Lobak Merah) 

Yang mencadangkan dan yang meluluskannya, kalau nak membodek pun agak-agaklah. Malah sebelum ia menjadi rasmi ada papan tanda dan plak perasmian segala, pasti usul tersebut sampai dahulu ke pengetahuan pegawai pihak berkuasa tempatan - dalam kes ini dia lah siapa lagi - untuk meluluskannya.

Katanya juga kepada Sinar Harian, dialah orang yang bertanggungjawab mendapatkan peruntukan RM200,000 untuk memperbaiki stadium yang sebelum ini daif itu. Tapi sampai begitu sekali mahu mengabadikan nama, ibarat memberi bola tanggunglah untuk direjam para warga net.

Kalau dia mengaku memang diambil sempena namanya, mungkin ceritanya tidak jadi sehangat ini. Masalahnya dalih dan penafian yang diberikan seolah-olah kita 'rakyat marhaen' ini terlalu bodoh untuk menilai kebenarannya, dalam dunia serba canggih di mana maklumat boleh dicari sepantas kilat di hujung jari.

Apa yang lebih 'menguji akal', dijelaskan juga bahawa 'maksud tersirat' (HAHA) nama FFIRA MIKAH itu gabungan perkataan Sepanyol atau Greek dan bahasa Arab. "'Ffira' bermaksud 'sesuatu yang hebat', manakala 'Mikah' dalam bahasa Arab sempena nama malaikat," katanya kepada Sinar Harian. 

Sekali lagi suka untuk saya nyatakan, dia ingat kita bodoh? Jadi untuk memastikan adakah benar kita yang tak tahu atau sebaliknya, saya pun buat sedikit 'kajian amatur' di Internet yang boleh diakses dengan mudah oleh majoriti rakyat di negara ini.

Malangnya apa yang saya temukan tidak sama dengan apa yang dinyatakannya. Pertama, bahasa Sepanyol dan bahasa Greek adalah dua bahasa yang tiada kaitan sama sekali. Bahasa Sepanyol berakar dari bahasa Latin, sementara bahasa Greek atau Yunani berasal dari bahasa Proto-Greek. Dua bahasa bangsa yang berbeza.

Kedua, tiada ditemukan perkataan 'ffira' wujud dalam mana-mana bahasa. Tetapi dalam bahasa Greek/Yunani, ada perkataan 'fyra' (φύρα) yang membawa maksud 'pembaziran' (wastage). Sesuai. Sementara dalam bahasa Sepanyol pula 'fira' bererti 'adil' (fair). Bukan 'sesuatu yang hebat' seperti katanya. Tak percaya cari sendiri.




Tiada juga perkataan 'mikah' ditemukan dalam bahasa Arab, paling hampir pun perkataan 'mika' iaitu nama yang membawa maksud 'tenang, manis dan cerdik', dan variasi daripada nama malaikat Mikail, menurut laman web iMuslim.name.


Dek tekanan dan kecaman orang ramai, akhirnya papan tanda nama FFIRA MIKAH itu sudah diturunkan semalam dan stadium akan dinamakan cukup sekadar Stadium Mini Kuala Nerang. 

Andai katalah ini mungkin sebenarnya strategi mereka untuk dengan sengaja mewujudkan kontroversi untuk publisiti stadium itu, cukup-cukuplah dengan cara pemasaran yang jelek. Sudah tiba masanya Malaysia menggamit perhatian khalayak dengan helah promosi yang lebih menjentik minda dan menyentuh rasa yang benar.

Paling utama, budaya tayang nama penyumbang harus dihapuskan. Inilah yang mencambahkan pemikiran yang salah dalam masyarakat dan generasi masa depan tentang keikhlasan dalam berbuat sesuatu. 

Hari ini ramai manusia bekerja semata-mata untuk mengharap pengiktirafan ramai (likes) dan ganjaran. Bila tak dapat apa yang diharap, maka kita lihat ramailah yang tertekan dan mengalami kemurungan.

Kita perlu mewujudkan ekosistem di mana setiap orang berbuat sesuatu bukan kerana untuk mendapat pujian, tetapi kerana manfaat kebaikan yang dibawa untuk dinikmati oleh masyarakat dan alam sejagat.

Ingat, ada sebab mengapa 2020 terjadi begini. Kita telah dihantuk, dibuka mata tentang kesilapan kita selama ini. Kalau masih tak terngadah juga, nantikan kehancurannya.


Isu Stadium Mini FFira Mikah - tindakan akan dikenakan Isu Stadium Mini FFira Mikah - tindakan akan dikenakan Reviewed by Hilal Azmi on December 17, 2020 Rating: 5

No comments