Home Top Ad

Kenapa bawa keranda sambil joget?


Dalam tradisi, budaya dan agama kita, jenazah si mati perlu dihormati, dikendali dengan lembut dan sopan dalam keadaan yang tenang. 'Dosa besar'lah sekiranya pada upacara mengiringi pemergian si mati itu kita bersuka ria.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini kita melihat video sekumpulan lelaki Afrika mengusung keranda sambil berjoget mengikut rentak muzik. Kita jadi serba salah, benda ini lawak ke bukan. Ia menjadi sebuah sensasi global, dan lama-lama kita ikut sama gelak.

Perbuatan membawa keranda sambil menari itu sebenarnya adalah satu amalan meraikan pengebumian yang berlaku di sebuah bandar pesisir di selatan Ghana bernama Prampram. Kumpulan itu dipanggil Dada awu, atau nama rasminya Nana Otafrija Pallbearing & Waiting Services.

Mereka meraih perhatian dunia apabila BBC menyiarkan sebuah rencana tentang mereka pada 2017. Tiga tahun kemudian, sekitar Mac 2020, mula tular di internet potongan klip tarian keranda mereka bersama lagu EDM 'Astronomia' oleh Tony Igy & Vicestone. Ia menjadi sebuah 'meme' rasmi kepada segala video gagal, membawa maksud orang di dalam video itu 'mati' dek kegagalannya.

Geng tarian keranda ini dipimpin oleh Benjamin Adoo, mulanya sebagai sebuah perkhidmatan pengebumian biasa sahaja. Bekerja sebagai pengurus jenazah (pallbearer) sejak 2003, dia sering melihat orang meratapi kematian begitu teruk sehingga pengsan dan ada yang mencederakan diri sendiri. Maka datanglah satu ilham.

"Bila anda tahu kehidupan yang dilalui oleh si mati sebelum dia pergi, saya fikir ia adalah sesuatu yang baik untuk kita raikan. Anda tahu apa yang ibu dan ayah anda lakukan untuk anda, jadi mengapa perlu bersedih (apabila mereka mati)?" katanya kepada The Guardian.

Satu hari, dia mendapat durian runtuh yang mengubah nasib bisnesnya apabila ada keluarga seorang ahli parlimen yang meninggal dunia mengupah Aidoo dan pasukannya. Mereka diminta memakai sut lengkap serba putih - yang ditaja sepenuhnya oleh keluarga tersebut. Majlis meraikan pengebumian itu berjalan dengan jayanya, malah mereka diberi tip lagi.

"Itu kali pertama saya nampak sekeping wang kertas $100, dan saya tahu ke mana harus dituju," ceritanya.

Selepas mereka tular, ia menjadi ikutan di negara-negara Afrika sekitar, dan banyak perkhidmatan pengurusan jenazah sudah mula memperkenalkan servis tarian seumpamanya. Bukan itu sahaja, mereka juga menjadi ikon yang diabadikan dalam bentuk model figura, bahan cetak serta macam-macam lagi.

Punya popular sampai ada orang buat patung figura. (Foto: Twitter / OFFICIAL GHANA DANCING PALLBEARERS)

Mereka kini menjadi simbol amaran kepada masyarakat, dalam bentuk yang bersahaja tapi jitu mesejnya. Ketika pandemik melanda, mereka dijadikan imej peringatan supaya duduk di rumah kalau tidak mahu nasib berakhir di keranda. Pada sepanjang bulan April tempoh hari, mereka disebut sebanyak lebih 60,000 kali di Twitter. 

Hari ini syarikatnya sudah dianggotai oleh kira-kira 100 orang pekerja: 95 lelaki dan lima wanita. Dua daripada wanita itu juga menjadi ketua pengurus jenazah sepertinya - memakai top hat, memimpin perarakan di depan keranda sambil memegang tongkat yang dihias dengan bendera Ghana. 

Baru-baru ini juga dia sudah mengupah seorang pengurus untuk mencuba membina jenama global. Dia berharap apabila berakhirnya pandemik ini nanti, dia mahu membuka cawangan di negara lain di mana orang boleh mendapatkan khidmat penari keranda gaya Aidoo.

Tapi minta maaf awal-awal lah ya Aidoo, di Malaysia memang tak dapat lah.


Sumber: The Guardian, BBC, Wikipedia


Kenapa bawa keranda sambil joget? Kenapa bawa keranda sambil joget? Reviewed by Hilal Azmi on December 10, 2020 Rating: 5

No comments