Home Top Ad

Kenapa stokin digantung masa Krismas?


Antara benda wajib yang mesti ada ketika perayaan Krismas selain pokok yang dihias, hadiah dan topi merah adalah stokin. Menurut tradisinya, Santa Claus akan datang dan mengisi stokin-stokin yang digantung pada malam sebelum Krismas itu dengan hadiah.

Banyak-banyak pakaian dalam dunia ini, mengapa stokin menjadi item penting tatkala tibanya perayaan itu? Kenapa tak digantung beg tote ke, bakul ke, atau karung guni terus? Kan lebih besar untuk Santa isi lebih banyak hadiah. 

Menurut legendanya, suatu ketika dahulu ada sepasang suami isteri dengan tiga orang anak perempuan yang cantik jelita tinggal di sebuah kampung di Patara, satu tempat purba di sekitar Turki. Mereka serba daif dan tak punya apa-apa, tetapi hidup bahagia.

Satu hari, si ibu jatuh sakit lalu meninggal dunia. Tinggallah si bapa yang sudah tua dan tak lagi berdaya untuk keluar bekerja. Maka tanggungjawab itu digalas oleh ketiga-tiga orang puterinya yang semuanya sudah di usia yang sedia untuk berkahwin.

Keadaan mereka yang miskin dan tidak berkemampuan membuatkan si bapa bertambah sedih kerana pasti tiada siapa mahu memperisterikan anak-anaknya. Sehinggalah cerita tentang keluarga malang ini, entah macam mana, sampai ke pengetahuan seorang keramat kaya bernama Saint Nicholas.

Saint Nicholas merupakan orang alim yang gemar bersedekah terutamanya memberi hadiah kepada kanak-kanak dan membela golongan kurang bernasib baik. Digelar 'Nicholas The Wondermaker', dia adalah figura sebenar yang hidup pada kurun keempat Masihi yang menjadi inspirasi kepada watak Santa Claus.

Dia tinggal di Patara, di mana tinggalnya keluarga miskin tersebut. Dia cuba menghulurkan bantuan, tetapi ditolak oleh si bapa. Mungkin kerana malu dan tidak mahu dilihat menagih simpati daripada orang lain untuk hidup. Saint Nicholas nekad untuk tetap membantu mereka dengan apa cara sekali pun.

Maka pada satu malam yang dingin, seperti biasa anak-anak gadis ini pulang dari kerja, mencuci dan mengemas lalu disidai pakaian basah dekat dengan pendiang api untuk mengeringkannya. Tanpa mereka sedari, Saint Nicholas bersembunyi di luar rumah, menanti saat yang tepat tiba untuk menjalankan misinya.

Apabila mereka semua masuk tidur, Saint Nicholas senyap-senyap mencampakkan tiga uncang berisi wang emas dari atas serombong, terus masuk ke dalam stokin-stokin yang disidai. Setiap satunya masing-masing untuk tiga orang anak gadis keluarga tersebut. 

Keesokan pagi, alangkah terkejut dan gembiranya mereka apabila mendapati rezeki tiba bagai bulan jatuh ke riba. Dapatlah mereka menyara si bapa, berkahwin dengan jejaka pilihan hati dan menjalani kehidupan yang lebih bahagia.

Sehingga hari ini, tradisi tersebut masih tetap terus diamalkan, walaupun secara amnya ramai sudah tahu bahawa Santa Claus itu tidak wujud. Stokin terus digantung sebagai hiasan yang mewarnai perayaan Krismas yang disambut setiap tahun.

Gantung je lah, mana tahu kan kot-kot benda ajaib nak jadi.


*Sumber: Astro AWANI


Kenapa stokin digantung masa Krismas? Kenapa stokin digantung masa Krismas? Reviewed by Hilal Azmi on December 24, 2020 Rating: 5

No comments