Home Top Ad

Kintsugi, seni menghargai cela


Kelaziman masyarakat hari ini adalah apabila ada sesuatu barangan yang rosak, terus dibuang tanpa fikir panjang dan digantikan dengan barang baharu. Mudah. Berbeza dengan orang dahulu yang akan berusaha sehabis baik untuk memperbaiki sesuatu selagi boleh digunakan.

Bukan kerana tak berkemampuan untuk membeli yang baharu, tetapi mereka percaya bahawa kerosakan itu yang menjadikan sesuatu barangan itu unik, dan mereka akan membaikinya menjadi item yang lebih berharga daripada sebelumnya. Ini tradisi yang dipanggil 'kintsugi'.

Bererti 'sambungan emas', kintsugi adalah seni orang Jepun membaiki tembikar yang pecah dengan membaikinya dengan lakuer yang dicampur serbuk emas, perak atau platinum. Selalunya ia diterapkan dalam membaiki perkakas seramik yang digunakan dalam chanoyu, upacara teh Jepun.

Satu teori menceritakan asal usul tradisi ini adalah apabila shogun Ashikaga Yoshimasa menghantar pulang mangkuk teh Cina yang telah pecah ke China untuk dibaiki pada lewat kurun ke-15. Apabila ia dikembalikan, dia mendapati mangkuk itu hanya disambungkan dengan buruk menggunakan dawai kokot. Jadi ia mencetuskan ilham kepada tukang Jepun untuk mencipta cara membaiki yang lebih bernilai estetik.

Ia bukan sekadar seni mencantikkan barangan yang dibaiki, tetapi falsafah di sebaliknya yang membentuk pemikiran masyarakat. Kintsugi punyai persamaan dengan falsafah Jepun 'wabi-sabi', meraikan kecacatan dan ketidak sempurnaan. Mereka menghargai tanda haus atau cela akibat digunakan pada setiap barangan.

Dengan menggunakan emas sebagai bahan sambungan menutup keretakan, ia menjadi kiasan kepada perjalanan hidup seseorang manusia yang pasti mengharung siri kejatuhan. Ia mengajarkan bahawa daripada menyesali dan membenci detik hitam yang berlaku, lebih baik melihatnya sebagai satu pengajaran berharga yang menjadikan diri lebih baik berbanding sebelumnya.

Kesempurnaan hanyalah milik Dia Sang Segalanya, dan cela lah yang menjadikan seseorang itu manusia. Jangan dibenci dan cuba untuk melupakan episod hitam dalam hidup,  jadikannya pedoman untuk melangkah ke masa depan dengan lebih benar dan bermakna.


Sumber: Wikipedia


Kintsugi, seni menghargai cela Kintsugi, seni menghargai cela Reviewed by Hilal Azmi on December 08, 2020 Rating: 5

No comments