Home Top Ad

RBIK : Jalan raya rosak norma baharu Malaysia


Ini bukan benda baharu, tapi masalah lama yang entah bila akan selesai. Jalan raya di Malaysia selalu rosak, menyebabkan ia tidak selesa dan - lebih penting - selamat untuk para penggunanya.

Ketika negara sibuk mengejar kemajuan dengan rancaknya pelbagai bentuk projek pembinaan, jalan raya di sekitarnya pasti terjejas teruk. Berlubang sana sini, berbenggol-benggol dek tompok simen tumpah dan macam-macam lagi benda yang mengundang maki setiap orang yang melaluinya.

Mungkin dalam fikiran mereka yang bertanggungjawab terhadap kawasan terbabit mengatakan "tengah pembinaan, takkan nak baiki jalan sekarang. Nanti dah siap bangunan barulah jalan diturap semula." Masalahnya bila dah siap, sama juga keadaannya. Bukan di kawasan projek pembinaan, malah di mana-mana sahaja.

Memang jalan rosak ditampal dan diturap semula - itu pun selepas berapa kurun baru dibuat. Namun tak lama kemudian, jalan yang ditampal itu kembali berlubang, jalan yang diturap itu kembali rosak. Di mana silapnya?

Jalan raya yang tidak rata bukan hal remeh dan kecil. Walaupun rosaknya hanya sedikit, ia boleh menjadi punca celaka yang besar. Waktu malam terutamanya. Selalu orang menukar laluan secara tiba-tiba adalah kerana mengelak lubang atau bonggol di tengah-tengah jalan. Bila ia berada di mana-mana, maka lebih tinggilah risiko berlakunya kemalangan.

Kalau pun tidak terlibat dalam kemalangan, jalan yang tidak rata menyebabkan kenderaan cepat rosak. Membaiki kenderaan menggunakan duit, bukan air liur. Rakyat marhaen paling merasai kesannya, kerana kenderaan mereka tidak secanggih yang dimiliki orang kaya. Tambahan pula, orang berkedudukan tinggi ini tidak memandu kerana ada pemandu.

Jika bercakap dengan mereka 'di atas sana', jawapan retorik sama yang diberi. "Kami sentiasa memantau...masih selamat...aduan boleh dibuat...tindakan akan diambil" - dari dahulu begitulah ayatnya. Maka saya memilih untuk bercakap dengan orang biasa yang hari-hari naik motor dan kereta yang berdepan masalah yang sama.

Badrul Hisham Ismail adalah sahabat saya yang lama saya kenali. Dia punyai pengetahuan yang agak luas mengenai bidang permotoran kerana minatnya yang mendalam dalam lapangan itu. Dunia permotoran sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan jalan raya, dan pengalamannya di atas jalan memang agak luas.

Maka satu hari kereta saya tak boleh dihidupkan kerana masalah bateri. Saya mengambilnya dari tempat kerja untuk dibawa ke bengkel terdekat. Sepanjang perjalanan, kami berbual tentang pengalaman masing-masing berdepan situasi di atas jalan raya dan pandangannya terhadap hal ini.

Bukan nak menuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk kita kenal pasti masalah supaya dapat diselesaikan, dengan apa cara sekali pun.




RBIK : Jalan raya rosak norma baharu Malaysia RBIK : Jalan raya rosak norma baharu Malaysia Reviewed by Hilal Azmi on December 11, 2020 Rating: 5

No comments