Home Top Ad

Sejarah ringkas kanibalisme, amalan makan daging manusia


Perkataan 'cannibal' dipercayai berakar dari zaman Christopher Columbus. Selepas mendarat di kepulauan Guadalupe, laporan awalnya kepada Ratu Sepanyol menggambarkan bahawa ada satu puak dipanggil Carib, yang menyerang dan memakan tawanan mereka.

Sebagai jawapan kepada laporan itu, Ratu Isabella membenarkan supaya orang asli yang memakan manusia perlu ditangkap dan dijadikan hamba.

Walaupun gagal menemukan emas yang dicari di pulau itu, Columbus terus menjarah segala hasil bumi serta menculik, membunuh dan merogol penduduknya. Siapa yang menentang semuanya dilabel sebagai Carib dan akan dilayan seperti binatang jijik.

Entah bagaimana, perkataan Carib menjadi Canibe dan akhirnya Cannibal. Ia mula-mula digunakan oleh penjajah untuk memburukkan dan merendah-rendahkan penduduk asli, dan sejak itu ia menjadi terma untuk sesiapa sahaja yang memakan daging manusia.

Lukisan oleh Charles E. Gordon Frazer (1863-1899) menggambarkan festival kanibal di Pulau Tanna, Vanuatu. (Foto: Wikipedia)

Itu salah satu teori bagaimana terma 'cannibalism' atau kanibalisme wujud, sedangkan amalan itu dikenal pasti telah berlaku sejak permulaan masa di banyak tempat di seluruh dunia. Ada tulang temulang berusia 600,000 tahun didapati telah dipisahkan dagingnya oleh manusia lain. 

Pada kurun ke-15, orang Eropah merasakan bahawa mereka telah menemukan penawar ajaib kepada pelbagai penyakit mereka ketika itu. Ia dalam bentuk serbuk berwarna perang yang dicampur dalam minuman, diadun menjadi sapuan atau dimakan terus. Ia dikenali sebagai mumia, dihasilkan dengan mengisar daging manusia yang dimumiakan. 

Permintaan untuk mumia melonjak naik. Pada mulanya, kegilaan itu dipenuhi dengan mumia yang dicuri dari Mesir. Namun apabila permintaannya terlalu tinggi dan tidak dapat ditampung dengan mumia-mumia di Mesir sahaja, para scammer mencuri mayat dari perkuburan sekitar Eropah dan menjadikannya mumia. 

Penggunaan mumia berlarutan sehingga beratus tahun lamanya, hingga dicatat dalam ensiklopedia perubatan yang popular kurun ke-20, Merck Index. 

Tidak hanya mumia, tetapi organ manusia juga menjadi kegilaan. Darah, dalam bentuk cecair atau serbuk, digunakan untuk merawat epilepsi. Sementara hati, batu hempedu, minyak yang disuling dari otak manusia, serta jantung yang dilumatkan juga menjadi ramuan perubatan yang diguna pakai secara meluas di Eropah.

Di China, ada rekod bertulis tentang amalan kanibalisme yang diterima umum hampir 2,000 tahun yang lalu. Satu bentuk kanibalisme yang lazim adalah anak yang telah dewasa menawarkan secebis daging mereka kepada ibu bapa mereka. Selalunya ini akan dilakukan sebagai jalan akhir untuk mengubati penyakit yang dialami kedua orang tuanya, asal tidak membahayakan nyawa si anak.

Peta lewat kurun ke-19 menunjukkan kawasan yang mengamalkan kanibalisme. Warna merah jambu tempat yang mangamalkan kanibalisme penuh, sementara hijau tempat yang amalannya terhad atau sudah tamat. (Foto: Wikipedia)

Ritual pengkebumian kanibalistik juga satu lagi bentuk yang menjadi sebahagian dalam budaya orang Fore di New Guinea. Sehingga sekitar pertengahan kurun ke-20, masyarakat itu masih ada yang meninggalkan wasiat supaya ahli keluarga berkumpul dan memakan dagingnya sesudah mati. Tragiknya, amalan ini yang menyebabkan penyebaran penyakit yang dipanggil mereka sebagai 'kuru'. 

Merentas zaman dan budaya, kanibalisme masih terus wujud atas sebab yang pelbagai, biasanya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apabila seseorang menghadapi kebuluran, hidup terkepung atau terkandas dalam ekspedisi, mereka terpaksa memakan bahagian tubuh orang lain yang telah mati atau berdepan nasib sama. 

Walaupun dalam masyarakat kita sejak zaman dahulu kala tidak ada diketahui atau direkodkan amalan makan daging manusia, budaya 'makan orang' itu sudah biasa.


Sumber: TED-Ed


Sejarah ringkas kanibalisme, amalan makan daging manusia Sejarah ringkas kanibalisme, amalan makan daging manusia Reviewed by Hilal Azmi on December 16, 2020 Rating: 5

No comments