Home Top Ad

Sejarah tradisi pokok Krismas


Elok-elok pokok itu tumbuh di luar, kenapa dipotong diletakkan di dalam rumah dan dihias? Ini berlaku setiap kali tibanya perayaan Krismas. Mana datangnya tradisi ini?

Pokok Krismas menjadi simbol terpenting dalam hari raya Kristian ini. Kalau tak ada pokok tak jadi, tak ada Santa Claus pun tak mengapa janji kena ada pokok berhias. Sebenarnya, amalan ini bermula lama sebelum kelahiran agama itu lagi. Orang kita kata sejak zaman tok adam dulu.

Terutamanya buat masyarakat yang hidup di hemisfera utara, tumbuhan hijau membawa makna yang istimewa ketika musim sejuk. Dalam banyak masyarakat purba mereka percaya keberadaan tumbuhan hijau di dalam rumah dapat menghalau semangat jahat dan penyakit.

Ketika kemuncak tempoh musim sejuk solstis yang berlaku setiap kali 21 atau 22 Disember, mereka percaya dewa matahari jatuh sakit dan tidak dapat menyinarkan cahayanya, kerana itu dunia bergelap dan sejuk. Dan dedaunan hijau di dalam rumah itu sebagai simbol harapan bahawa matahari akan kembali bersinar apabila ia 'sihat semula' nanti.

Orang Mesir purba memuja dewa Ra, dewa berkepala burung helang bermahkotakan matahari di kepalanya. Ketika solstis di mana Ra sedang pulih dari sakitnya, mereka menyambut proses itu dengan meletakkan pelepah daun palma hijau, meraikan kemenangan hidup ke atas kematian.

Sementara masyarakat di Eropah Utara, para sami orang Celt purba yang dipanggil Druid menghias kuil mereka dengan dedaunan hijau. Orang Viking di tanah Skandinavia pula percaya tumbuhan hijau adalah item penting buat Balder, tuhan matahari mereka.

Orang Rom terawal menandakan ketibaan solstis dengan perayaan Saturnalia sempena dewa tanaman dan ternakan mereka, Saturn. Tibanya solstis bererti tak lama lagi tanah akan menjadi subur dan para petani dan peladang bakal dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Untuk itu, mereka menzahirkan harapan itu dengan hiasan hijau di dalam rumah.

Tradisi meletakkan pokok berbentuk kon dan dihias kelilingnya ini dimulakan oleh orang Jerman, sekitar kurun ke-16. Kalau tak dapat pokok, mereka akan susun potongan kayu menjadi bentuk piramid dan dihias. Katanya pemimpin gerakan Protestan, Martin Luther yang mula-mula meletakkan lilin pada susunan kayu itu untuk menjelmakan kembali pemandangan kerdipan bintang di langit malam.

Lama-kelamaan amalan itu tersebar menjadi ikutan masyarakat lain di sekitarnya bersama penghijrahan orang Jerman ke negara luar khususnya Amerika Syarikat. Sehingga hari ini menjadi satu tradisi penting di seluruh dunia yang menyambut Krismas. 


Sumber: History, Wikipedia


Sejarah tradisi pokok Krismas Sejarah tradisi pokok Krismas Reviewed by Hilal Azmi on December 26, 2020 Rating: 5

No comments