Home Top Ad

Selaju mana kelajuan berfikir manusia?


Ada hari kita mampu berfikir sepantas kilat, ada hari kadar pemprosesan otak kita boleh jadi lambat. Banyak faktor yang menentukannya, tetapi selaju mana kelajuan sesuatu maklumat itu bergerak dalam sistem saraf kita?

Otak manusia mempunyai kira-kira 86 bilion sel otak yang dipanggil neuron. Pada sel tersebut ada bahagian bernama axon dan isyarat dihantar melaluinya dalam bentuk impuls elektrik atau juga dipanggil keupayaan tindakan.

Satu sel neuron akan menghantar isyarat menerusi aktiviti kimia neurotransmitter dipanggil sinaps, diterima oleh dendrit neuron seterusnya dan begitu perjalanannya ke otak dan ke seluruh bahagian tubuh.

Jadi, faktor utama yang menentukan kepantasan kita berfikir adalah berapa lama tempoh diambil untuk mencetuskan keupayaan tindakan awal, perjalanan isyarat melalui axon dan sinaps. Juga mengambil kira jumlah neuron terlibat dan jarak perjalanan isyarat tersebut.

Kita ambil contoh refleks sentakan lutut, di mana kaki kita menendang apabila tendon patella kita dipukul. Pukulan itu mencetuskan impuls elektrik yang bergerak naik menerusi neuron ke saraf tunjang. Panjang rangkaian neuron dalam laluan itu adalah sekitar 1 meter untuk seseorang yang tingginya lebih kurang 5 kaki 5 inci, dan secara puratanya ia mengambil masa 15 ke 30 milisaat dari pukulan ke tendangan.

Kelajuan adalah jarak dibahagi dengan masa, jadi isyarat ini bergerak pada kelajuan antara 120 ke 240 kilometer sejam. Keupayaan tindakan awal tercetus dalam 1 ke 5 mili saat, sementara penghantaran sinaptik hanya mengambil masa .1 ke .5 milisaat. Jadi lebihan masa itu adalah perjalanan isyarat melalui axon.

Struktur neuron. (Foto: Wikipedia)

Ini sejajar dengan dapatan kajian di mana purata neuron individu menghantar isyarat pada kelajuan 180 kilometer sejam. Namun kelajuan itu boleh dipercepatkan dengan pertambahan diameter axon juga pembesaran mielin. Mielin adalah selaput lemak yang melindungi axon, menahan arus elektrik daripada bocor keluar. Sementara itu axon dengan diameter yang ebih besar dapat mengurangkan rintangan. Faktor-faktor ini boleh meningkatkan kelajuan keupayaan tindakan sehingga 432 kilometer sejam.

Bagaimanapun banyak lagi faktor yang menjadi penentu: ada orang yang berfikir lebih laju daripada kebiasaan, usia dan pemakanan juga memainkan peranan penting. Khususnya apabila anda semakin menua, selaput mielin anda akan haus dan struktur neuron lain semakin merosot.

Sistem saraf kita juga adalah rangkaian laluan yang sangat kompleks. Memproses imej, muzik, bercakap dalam hati, dan mengimbas kembali memori semuanya memerlukan laluan neural yang rumit yang tidak seringkas refleks sentakan lutut. 

Kelajuan penghantaran isyarat biasanya konsisten dengan variasi berdasarkan diameter axon dan selaput mielin. Namun, tempoh berfikir itu bergantung kepada laluan, hentian di antaranya dan di mana destinasinya. 


Sumber: TED-Ed


Selaju mana kelajuan berfikir manusia? Selaju mana kelajuan berfikir manusia? Reviewed by Hilal Azmi on December 11, 2020 Rating: 5

No comments